Wednesday, 15 May 2019

Pesakit buah pinggang dan makanan sunnah





SEORANG sahabat bertanya saya, adakah beliau patut membelikan makanan Sunnah sama ada dalam bentuk yang asli ataupun jus yang diproses untuk bondanya yang sakit buah pinggang? Ibunya sudah berumur lebih 60 tahun menghidapi kencing manis dan darah tinggi. Terbaharu, doktor mengesahkan buah pinggang bondanya terdapat batu karang dan fungsi buah pinggang telah rosak tahap 5. Doktor mengesyorkan rawatan dialisis, tetapi bondanya menolak kerana ramai saudara mara menyuruh berubat secara alternatif dahulu melalui pemakanan sunnah. (Foto di atas sekadar hiasan.)

Isu ini perlu diperincikan dengan cermat supaya orang tidak menuduh saya anti-pemakanan Sunnah sekali gus menjadi liberal kerana lebih percaya kepada ilmu perubatan!

Ustaz Ahmad Tarmizi Taha, Pensyarah UniSZA pernah mengulas isu pemakanan Sunnah ini. Tulis beliau, kaedah penyediaan makanan (bagi pesakit) hendaklah dirujuk kepada pakar pemakanan terlebih dahulu:
فَاسْأَلُوا أَهْلَ الذِّكْرِ إِنْ كُنْتُمْ لَا تَعْلَمُونَ
"Maka tanyalah golongan jika kamu tidak mengetahui."
(al-Nahl: 43)
Ibnu Majah meriwayatkan:
عَنْ جَدِّهِ صُهَيْبٍ قَالَ
قَدِمْتُ عَلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَبَيْنَ يَدَيْهِ خُبْزٌ وَتَمْرٌ فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ادْنُ فَكُلْ فَأَخَذْتُ آكُلُ مِنْ التَّمْرِ فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ تَأْكُلُ تَمْرًا وَبِكَ رَمَدٌ قَالَ فَقُلْتُ إِنِّي أَمْضُغُ مِنْ نَاحِيَةٍ أُخْرَى فَتَبَسَّمَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ
"Daripada datuknya Suhaib katanya aku pernah datang menemui Nabi S.A.W dan di hadapan Baginda S.A.W terdapat roti dan tamar. Lalu Baginda S.A.W bersabda sila duduk dekat makanan tersebut dan makanlah. Maka aku pun mengambil makanan tersebut dan memakan kurma. Nabi S.A.W bersabda engkau memakan tamar sedangkan engkau sakit mata? Lalu aku menjawab aku menguyah untuk mata yang satu lagi (mata yang tidak sakit). Maka tersenyumlah Nabi S.A.W."
(Riwayat Ibnu Majah)
Pengarang Kitab al-Fath al-Rabbani menyatakan kemungkinan Nabi S.A.W berkata begitu dengan tujuan bergurau dan boleh jadi juga Baginda bermaksud mereka yang mengalami sakit mata tidak elok memakan kurma.

Hadis ini secara tidak langsung menerangkan mereka yang mengalami penyakit tertentu tidak sesuai memakan makanan tertentu.

Oleh itu, mereka yang membuat makanan Sunnah hendaklah merujuk kepada pakar pemakanan atau perubatan terlebih dahulu supaya makanan yang diedarkan benar-benar berkhasiat dan tidak mendatangkan mudarat kepada tubuh (sebelum diberikan kepada pesakit).

Hatta, pernah Rasulullah S.A.W menyuruh Sahabat menggunakan ramuan atas nasihat doktor yang mahir pada zaman tersebut untuk berubat. Sebagaimana Hadis yang bermaksud:
“Dari Sahabat Sa’ad mengisahkan, pada suatu hari aku menderita sakit, kemudian Rasulullah S.A.W menjengukku, beliau meletakkan tangannya di tengah dadaku, sampai-sampai jantungku merasakan sejuknya tangan beliau. Kemudian beliau bersabda, ‘Sesungguhnya engkau menderita penyakit jantung. Temuilah al-Harits bin Kaladah dari Bani Tsaqif, kerana sesungguhnya dia adalah seorang tabib (doktor). Dan hendaknya dia (al-Harits bin Kaladah) mengambil tujuh buah kurma ‘ajwah, kemudian ditumbuk beserta biji-bijinya, kemudian meminumkanmu dengannya.”
(HR. Abu Daud, no. 3875. al-Hafizh Abu Thahir mengatakan bahawa sanad Hadis ini dha’if)

Baik, buah tamar sememangnya mempunyai khasiat tertentu seperti gula ringkas dan kandungan garam mineral yang tinggi seperti kalsium, potassium, magnesium dan lain-lain lagi. Ianya boleh dimakan oleh individu yang sihat. Namun bagi pesakit kencing manis, buah pinggang perlu berhati-hati. Ini kerana kandungan gula ringkasnya boleh menyebabkan paras gula dalam darah akan meningkat.

Tambah lagi jika pesakit yang mempunyai masalah buah pinggang yang memerlukan cuci darah melalui dialisis, makanan seperti buah tamar, habbatussauda adalah tidak sesuai kerana kandungan potassium yang tinggi. Kehadiran potassium yang berlebihan ini akan memudaratkan sistem badan.

Potassium itu garam yang penting untuk tubuh. Ianya perlu dalam julat yang tertentu. Regulasi dan perkumuhan potassium akan dilakukan oleh buah pinggang. Justeru, dengan memakan makanan yang tinggi kandungan potassium, ianya tidak dikumuh dengan sempurna oleh buah pinggang, akhirnya kandungan potassium (dalam darah) akan meningkat melebihi paras yang dibenarkan. Jika terlalu tinggi, rentak jantung akan tidak menentu sehingga boleh membawa pengsan dan maut.

Pesakit buah pinggang juga perlu menjaga kaedah pemakanan lain seperti kawalan air, protein dan karbohidrat. Pendek kata, bertanyalah kepada ahli yang mahir bab ini, bukannya memetik perkataan Sunnah, semua boleh dimakan atau terpengaruh dengan jurujual yang tiada langsung asas perubatan. – HARAKAHDAILY 4/7/2018

DR SUHAZELI ABDULLAH


sumber :https://www.harakahdaily.net/index.php/gaya-hidup/7193-pesakit-buah-pinggang-dan-makanan-sunnah