Thursday 4 December 2014

Makanan Untuk Anak Sakit



Apakah makanan yang perlu diberi kepada kanak-kanak yang sakit?

Memberi makan kanak-kanak yang sakit merupakan cabaran kepada ibu bapa atau penjaga. Kanak-kanak yang sakit selalunya enggan makan atau hanya makan sedikit sahaja. Semasa kanak-kanak sakit, adalah penting untuk tidak mengehadkan makanan atau minuman yang ingin mereka makan.

Berikut adalah beberapa panduan untuk memberi makan kanak-kanak yang sakit:

1. Bagi bayi atau kanak-kanak yang masih menyusu susu ibu, teruskan penyusuan susu ibu dengan lebih kerap dan susukan bayi atau kanak-kanak dengan lebih lama pada setiap pe nyusuan. Jika bayi terlalu lemah untuk menyusu, ibu-ibu boleh memerah susu ibu dan memberi susu ibu kepada bayi menggunakan sudu atau cawan.
2. Beri kanak-kanak makan dengan kerap dan dalam kuantiti yang kecil.
3. Beri kanak-kanak makanan yang lembut dan padat dengan nutrien seperti bubur nasi yang ditambah sayur-sayuran dan ayam atau ikan. Sedikit mentega atau marjerin boleh ditambah ke dalam bubur nasi untuk meningkatkan kandungan kalori.
4. Beri kanak-kanak makan pelbagai makanan daripada semua kumpulan makanan.
5. Beri kanak-kanak makanan yang lembut atau dilecek jika mereka menghadapi masalah untuk menelan. Walau bagaimanapun, elak daripada mencairkan makanan atau susu yang diberi kepada mereka.
6. Bersabar dan berikan makanan yang digemari kanak-kanak untuk meningkatkan seleranya.
7. Pangku kanak-kanak atau biarkan mereka makan dalam keadaan duduk. Elakkan memberi kanak-kanak makan semasa berbaring kerana ini boleh menyebabkan mereka tercekik.
8. Jika kanak-kanak muntah, tunggu selama sepuluh minit sebelum meneruskan pemberian air atau makanan.
9. Elak memaksa kanak-kanak untuk makan.

Kanak-kanak yang mengalami cirit-birit atau diarea selalunya akan mengguna atau kehilangan lebih banyak air daripada biasa. Oleh yang demikian, mereka perlu diberi lebih banyak air dan pastikan air tersebut adalah bersih dan selamat untuk diminum. Air kosong , susu, minuman yogurt dan minuman berk hasiat yang lain hendaklah diberi kepada kanak-kanak yang sakit. Elakkan memberi kanak-kanak minuman berkarbonat atau kordial. Kanak-kanak yang masih menyusu susu ibu pula hendaklah disusukan dengan lebih kerap, sementara kanak-kanak yang tidak menyusu susu ibu hendaklah diberi air atau cecair lain seperti sup dengan banyak setiap satu hingga dua jam.



sumber : http://www.myhealth.gov.my/

No comments:

Post a Comment