Friday 2 June 2017

Amalan Bijak Pemakanan Anak Pra Sekolah



Memang tidak dapat dinafikan, amalan makan secara sihat adalah penting bagi kanak-kanak prasekolah yang berumur empat hingga enam tahun. Ianya bukan sahaja penting untuk pertumbuhan dan perkembangannya, tetapi juga untuk mereka kekal cergas dan aktif.


Makanan yang sihat dan berkhasiat penting untuk kanak-kanak kerana ia:
  • Membekalkan nutrien untuk perkembangan dan pertumbuhan;
  • Membekalkan tenaga untuk mereka menjalankan aktiviti fizikal;
  • Membantu menguatkan sistem ketahanan badan yang dapat menghalang mereka dari mendapat jangkitan penyakit.

Ikuti panduan berikut ketika menyedia dan memberi anak anda makan :

  • Walaupun bermula usia 1 tahun kanak-kanak seharusnya sudah boleh makan makanan keluarga, kebiasaannya di peringkat usia ini minat untuk mereka makan akan menurun kerana terpengaruh dan teruja dengan keadaan sekeliling. Anda tidak harus bimbang. Berikan mereka lebih perhatian dan layanilah mereka dengan penuh kesabaran dan kasih sayang.

  • Pupuk amalan makan secara sihat sejak anak kecil lagi.Berikan anak anda makanan yang berkhasiat mengikut saranan Piramid Makanan Malaysia. Piramid Makanan menekankan pengambilan pelbagai jenis makanan yang dapat membantu kanak-kanak memperolehi semua nutrien yang diperlukan. Pilih gabungan makanan harian berpandukan saranan Piramid Makanan Malaysia:

Kumpulan 1: Nasi, mi, roti, bijirin, produk bijirin serta ubi-ubian

Kumpulan ini adalah sumber paling baik untuk karbohidrat yang membekalkan tenaga kepada mereka. Ia juga mengandungi vitamin, mineral dan serat . Nasi, mi, roti, pasta, bubur, capati dan biskut adalah makanan daripada kumpulan ini.

Kumpulan 2: Buah-buahan dan sayur-sayuran


Kumpulan ini membekalkan vitamin, mineral dan serat yang dapat membantu mencegah jangkitan penyakit dan mengelakkan sembelit.

Kumpulan 3: Ikan, ayam, daging, telur dan kekacang

Makanan dalam kumpulan ini membekalkan protein, vitamin B dan mineral. Ia diperlukan untuk pertumbuhan kanak-kanak.

Kumpulan 4: Susu dan produk tenusu

Makanan daripada kumpulan ini kaya dengan kalsium dan protein. Ia diperlukan untuk membina tulang dan gigi. Pastikan kanak-kanak minum susu setiap hari.

Kumpulan 5: Lemak, minyak, gula dan garam

Pastikan kanak-kanak mengurangkan pengambilan makanan daripada kumpulan ini.


  • Latih anak anda makan pada waktu yang tetap setiap hari.Pastikan mereka makan 3 hidangan utama iaitu sarapan, makan tengah hari dan makan malam, dan berikan snek di antara waktu makan utama ini. Susu adalah salah satu contoh snek berkhasiat dan sesuai dihidangkan kepada kanak-kanak. Walau bagaimanapun, elakkan memberi snek menghampiri waktu makan utama. Ini kerana anak anda mungkin berasa kenyang dan enggan makan makanan utama mereka setelah mengambil snek yang diberi terlalu hampir dengan waktu makan utama.

  • Selia anak anda ketika mereka makan. Bagi kanak-kanak yang kurang berminat untuk makan, terdapat banyak cara yang boleh dilakukan untuk menggalakkan mereka makan. Di antaranya ialah:

1) Duduk dengan mereka semasa mereka makan. Perhatikan apa yang dimakan dan berikan bantuan dan galakan semasa mereka menikmati hidangan
2) Berikan masa untuk mereka menikmati hidangan. Jangan terburu -buru.
3) Beri pujian kepada mereka jika mereka memilih makanan yang berkhasiat.
4) Berikan kanak-kanak makanan mengikut sukatan yang disarankan.
5) Jika memilih jenis makanan kegemarannya, cuba campurkan makanan yang berkhasiat seperti sayur dan susu bersama-sama makanan tersebut.
6) Berikan makanan sebaik sahaja mereka berasa lapar. Jika kanak-kanak menunggu terlalu lama, kemungkinan selera mereka akan hilang.
7) Jangan memaksa mereka makan. Ini boleh meningkatkan tekanan dan memberi pengalaman makan yang tidak menyeronokkan. Keadaan ini mungkin menyebabkan masalah kepada tabiat makan mereka di kemudian hari.
8) Jangan berikan anak banyak minuman sebelum atau semasa menikmati hidangan kerana ia boleh mengganggu selera makan.


  • Jika anda bercadang untuk melakukan aktiviti di luar atau untuk beriadah bersama keluarga, sediakan makanan ringkas seperti telur rebus, sandwic atau buah kering untuk dihidangkan. Susu atau air suam adalah lebih baik daripada minuman berkarbonat atau minuman manis.

  • Untuk menceriakan lagi suasana, ajaklah anak-anak anda menyediakan makanan yang ringkas, membantu menghidangkan makanan dan mengemas meja.


sumber rujukan : http://www.myhealth.gov.my/7-amalan-bijak-memberikan-makanan-kepada-kanak-prasekolah/

1 comment:

  1. Harrah's Casino - JamBase
    You 제주도 출장마사지 will be presented with a selection of gaming 오산 출장안마 machines, including the 부천 출장샵 old and modern. This Harrah's casino has a great variety of 계룡 출장마사지 table 춘천 출장마사지 games including slots and

    ReplyDelete